utama

Kejutan dua juara Gegar Vaganza

Oleh Rudy Imran Shamsudin

KEJUTAN apabila malam konsert akhir program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6) mengumumkan dua pesaing terdekat Naqiu dan Hady Mirza adalah juara bersama.

Bagaimanapun persembahan Naqiu di malam konsert akhir GV6 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuatkan juri menangis.

Persembahan peserta akhir GV6 diadili sepenuhnya oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap manakala pereka fesyen tempatan, Datuk Rizalman Ibrahim dijemput kembali sebagai juri jemputan.

Di malam konsert akhir GV6, Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Wan Najib mendendangkan lagu Srikandi Cintaku nyanyian asal Bloodshed memulakan persembahan dengan bermain gitar dan kemudian menunjukkan kemampuan vokalnya yang mantap.

Penghayatan tinggi diberikan dalam persembahan dilakukan Naqiu turut memukau penonton di dalam Auditorium MBSA dan di rumah. Sewaktu segmen ‘battle’ dia bersaing bersama Hady Mirza.

Persembahan yang dilakukan Hady Mirza secara solo mendendangkan lagu Ku Bersuara nyanyian asal Ernie Zakri, juga mendapat pujian ketiga-tiga juri.

Sementara itu seperti dijangka, bekas penyanyi utama Black Dog Bone, Jatt Ali memenangi tempat ketiga.

Turut layak ke peringkat akhir GV6, kumpulan hip hop, One Nation Emcees, Nurfatima dan bekas penyanyi utama kumpulan Visa, Sham.

Juara GV6 menerima hadiah wang tunai RM100,000 berserta pakej percutian sementara naib juara menerima RM50,000 dan pakej percutian.

Pemenang tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM30,000 dan pakej percutian.

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 12:20am
d